hubungan baik

Persahabatan Malaysia dan Indonesia akan sentiasa berkekalan tanpa mengira waktu sama ada semasa susah atau senang. Ini dibuktikan apabila kedua-dua negara saling memberikan bantuan semasa berlaku bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan tsunami selain kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan keselamatan.

Perdana Menteri mengharapkan agar kerajaan yang beliau pimpin akan menjalin hubungan dua hala yang lebih baik dengan Indonesia dalam bidang ekonomi dan bidang-bidang lain.

Kedua-dua pemimpin sependapat, kesan ketara kerjasama erat membabitkan kerajaan, swasta dan rakyat itu ialah Malaysia muncul sebagai pelabur terbesar di Indonesia tahun lalu dengan nilai pelaburan AS$2.2 bilion, manakala nilai perdagangan dua hala meningkat kira-kira 28 peratus kepada AS$5.9 bilion.

‘‘Saya amat terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana apabila banjir berlaku di Johor baru-baru ini, kerajaan Indonesia telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir,” kata Abdullah. Katanya, hubungan Malaysia dan Indonesia pada waktu ini amat baik sekali dan ia memberikan kebaikan serta keuntungan kepada kedua buah negara. Beliau yakin kerjasama Malaysia dan Indonesia mampu diperluas dan dipertingkatkan lagi di peringkat menteri, swasta, ahli perniagaan dan perusahaan selain di peringkat rakyat untuk membuktikan dua buah negara anggota OIC dapat bekerjasama. Sementara itu, Susilo menyatakan beliau terharu dengan pendirian Abdullah untuk menjadikan Malaysia dan Indonesia sebagai sahabat sejati semasa susah dan senang.

‘‘Terima kasih bapak Perdana Menteri, kami semua cukup tersentuh dengan pernyataan bapak (Abdullah) bahawa sahabat sejati adalah sahabat dalam suka dan duka,’’ ujar Susilo.