Oleh makyong

Pilihanraya semakin hangat diperkatakan. Barisan Nasional (BN) sendiri sudah bersiap sedia dengan calon-calon yang akan diketengahkan. Setiap ahli komponen BN sudahpun diarahkan untuk bersiap-sedia dengan jentera masing-masing kerana bila-bila masa Perdana Menteri akan mengumumkan tarikh Pilihanraya Umum ke-12.

Tetapi apa dah jadi dengan Barisan Alternatif (BA)? Di mana kekuatan dan kekukuhan parti BA yang diwar-warkan oleh mereka sebelum ini? Di mana kesetiaan DAP kepada parti gabungan parti pembangkang…BA yang terdiri daripada Pas, PKR, dan DAP?

Terbaru DAP telah mengumumkan melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, bahawa mereka tidak akan berkerjasama dengan Pas dalam PIlihanraya Umum nanti tetapi akan membuat pakatan dengan PKR. Sebenarnya pengisytiharan penolakan gabungan dengan Pas telah diumumkan oleh DAP semenjak Disember 2004 tetapi didolak dalihkan oleh Pas, menyembunyikan penolakan terang-terangan DAP terhadap Pas.

Gabungan dengan PKR yang hanya mempunyai satu kerusi iaitu Parlimen Permatang Pauh pula hanyalah satu alasan supaya DAP kelihatan kukuh kerana ada pakatan dengan parti Melayu walaupun PKR sendiri amat lemah serta nyawa-nyawa ikan dan sudah tidak diterima pengundi berikutan ramai orang kuatnya telah meninggalkan parti.

Nampaknya tidak sia-sia lah kebodohan Pas selama ini. Tidak sia-sia lah Pas mengikut telunjuk DAP dan PKR selama ini supaya tidak meletakkan calon pada Pilihanraya Kecil Batu Talam yang sememangnya telah menjadi salah satu kerusi kepada Pas dalam BA. Tidak sia-sia lah Pas terus memekakkan telinga apabila pelbagai pihak mempersoalkan tentang pendirian Pas untuk memboikot pilihanraya yang diselaraskan oleh SPR sedangkan sahabat-sahabatnya terus meletakkan calon masing-masing di Machap, Melaka dan Ijok, Kuala Selangor.

Adakah disebabkan Pas saja yang bercita-cita untuk memboikot Pilihanraya Umum maka DAP dengan tegasnya mengumumkan tidak akan berkerjasama dengan Pas?

Ternyata dan jelas di sini bahawa Pas benar-benar diperbodohkan oleh DAP dan PKR pula hanya sekadar batu loncatan bagi memenangi hati pengundi Melayu di kawasan yang majoritinya orang Melayu. Lebih jelas lagi bahawa DAP sebenarnya berniat untuk memperbodoh-bodohkan parti yang dipimpin oleh orang-orang Melayu yang tidak menggunakan akal untuk berfikir.

BERSATULAH MELAYU!  NIAT BUSUK DAP SUDAH TERSERLAH….