Oleh makyong

‘‘DAP tidak berhasrat bergabung dengan Pas tetapi akan meneruskan kerjasama dengan PKR dalam pilihan raya umum nanti.”

Kenyataan DAP tentang hasrat mereka itu telah memberi satu tamparan hebat kepada Pas yang selama ini sentiasa berdolak dalih bahawa Pas dan DAP sentiasa berkerjasama untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Tetapi setelah kenyataan demi kenyataan daripada DAP menolak pakatan dengan Pas, perasaan malu mula menyelubungi PAS kerana mereka ibarat bertepuk sebelah tangan. Kini, Pas sudahpun membuat kenyataan bahawa mereka juga tidak berminat lagi untuk membuat pakatan dengan DAP bagi menghadapi PIlihanraya Umum nanti.

Namun dalam kekecohan mengeluarkan kenyataan sebegitu, tidak pula kita mendengar kenyataan daripada PKR untuk tidak berkerjasama dengan mana-mana parti di dalam Barisan Alternatif (BA) sama ada DAP ataupun Pas. Tanpa kenyataan itu, ia bermakna PKR tetap akan berkerjasama dengan Pas ataupun DAP. Bagi PKR, mereka  tidak pernah ada masalah dengan kedua-dua parti tersebut.

Selepas Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara kita sering mendengar onar-onar Anwar dalam menaikkan kembali nama beliau. Pengikut-pengikut setia Anwar pula tidak putus-putus memuji Anwar yang berkerja keras untuk mempertahankan PKR di persada politik. Kebijaksanaan dan kepandaian Anwar dalam mereka sesuatu isu telah menghangatkan lagi suasana politik negara.

Anwar cukup dipandang tinggi oleh mana-mana pemimpin parti di dalam BA. Lebih jelas lagi apabila satu program gabungan antara Pas dan PKR, Pidato Perdana di Padang Bola Taman Permata, Hulu Klang telah memperlihatkan gelagat spontan pemimpin dan penyokong Pas terhadap Anwar.

Semasa program sedang berlangsung, Hj. Hadi (Presiden Pas) tiba agak lewat iaitu ketika Dr. Hatta sudah memulakan ucapannya. Beliau disambut sebagaimana yang sepatutnya iaitu Dr. Hatta memberi tanda hormat dengan berhenti berucap dan mengalukan ketibaan Hj. Hadi, kemudian setelah Hj. Hadi mengambil tempat beliau menyambung semula ucapannya.

Tetapi Anwar (Penasihat PKR) yang tiba lebih lewat pada program tersebut iaitu ketika Hj. Hadi sedang berucap, bukan sekadar dialukan dengan ucapan malahan ketibaan Anwar disambut dengan alunan muzik yang boleh mendirikan bulu roma yang seakan-akan menyambut seorang pemimpin agung! Setelah Anwar sudah mengambil tempat, Hj. Hadi yang ingin menyambung ucapannya itu dikejutkan dengan alunan lagu Keadilan yang mana beliau terpaksa bersama-sama menyanyikan lagu tersebut (walaupun tak tahu lirik).

Wah! Hebat sungguh Anwar Ibrahim. Beliau merupakan bekas banduan pertama yang disambut sedemikian rupa. Apa yang lebih mengembangkan hidung Anwar apabila pengerusi majlis tersebut iaitu seorang pengikut dan penyokong Pas dengan bangganya melaung dan meminta semua hadirin yang hadir mendoakan agar selepas Pilihanraya Umum ke-12 nanti, Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-6!

Tidak cukup dengan agenda-agenda Anwar bagi menaikkan kembali nama beliau, kerenah Anwar di Pilihanraya Kecil Batu Talam, Machap dan Ijok, kemunculan Anwar menghabiskan air liur dengan melibatkan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam kes Altantuya, beliau mengatur juga rentak perjalanan menaiki tangga menuju jawatan tertinggi Malaysia.

Anwar yang licik itu tidak menunjukkan kegusarannya walaupun PKR dilanda masalah yang bertimpa-timpa.  Perletakkan jawatan dan kehilangan pengikut-pengikut setia dan penjawat penting dalam PKR serta pembubaran beberapa PKR Bahagian, jelas menunjukkan bahawa kedudukan PKR amat lemah dalam menghadapi Pilihanraya Umum nanti.

Namun, Anwar sudah bersiap sedia lebih awal daripada pemimpin-pemimpin PKR mahupun pemimpin BA. Beliau mengatur dan merancang strategi MENUJU PUNCAK semenjak hari pertama dipenjarakan.

1.       Wan Azizah, isteri beliau sendiri dipilih sebagai Presiden PKR kerana beliau tahu sebagai seorang bekas banduan, tidak memungkinkan beliau dengan senang lenang menjadi Perdana Menteri walaupun ada sokongan pihak-pihak tertentu. Kekecohan bahawa beliau akan bertanding merebut jawatan Presiden hanyalah propaganda untuk menyembunyikan langkah Anwar.

2.       Anwar menjadi penasihat kepada PKR (Presiden) semenjak dipenjarakan lagi. Semua pergerakan PKR diatur dan disusun oleh Anwar. Namun, selepas dibebaskan barulah Anwar secara rasmi diumumkan sebagai Penasihat PKR agar lebih memudahkan lagi pergerakan Anwar dalam mempromosikan dirinya.

3.       Suara Wan Azizah sudah tidak kedengaran, beliau sudah kembali duduk di rumah sebagai surirumah walaupun masih memegang jawatan PRESIDEN parti. Anwar pula yang hanya memegang jawatan PENASIHAT memulakan langkah mengelilingi negara, memberi ceramah dan berkempen. Amat menghairankan apabila tugas Presiden dijalankan oleh Penasihat.

Anwar tidak pernah puas dengan perjalanan hidupnya selagi impian tinggal di Sri Perdana tidak tercapai. Anwar dengan bijak dan tanpa disyaki bertindak mengambil kesempatan di atas perpecahan antara DAP dan Pas pula. Anwar yang licik dalam merancang agenda politik demi kepentingan dirinya telah memberi keyakinan kepada DAP untuk berkerjasama dengan PKR dan berjaya menarik perhatian Pas untuk membuat pakatan dengan PKR.

Agenda Anwar dalam penggabungan tersebut semata-mata hanya akan memberi keuntungan kepada PKR dan dirinya sahaja. Anwar tidak sekali-kali akan memikirkan untuk sama-sama menaikkan atau menguntungkan parti-parti pakatannya.

Anwar berjaya memberi keyakinan kepada pengikut dan penyokong Pas seolah-olah Pas tidak mempunyai orang-orang yang layak untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri dengan pengumuman pengerusi majlis (Pas) di Pidato Perdana. Pengumuman tersebut benar-benar mencabar parti Pas, lebih-lebih lagi majlis tersebut dihadiri oleh PRESIDEN Pas bukannya sekadar PENASIHAT Pas.

Tidak cukup dengan keyakinan Pas, Anwar akan meneruskan langkah mencari keyakinan penyokong dan pengikut DAP pula. Anwar akan meneruskan gerak langkahnya kerana beliau sudah tidak boleh mengharapkan kepada PKR yang hanya mempunyai satu kerusi sahaja.

Ibarat parasit yang menumpang di dahan dan memakan segala zat akhirnya membawa maut kepada dahan tumpangannya itu. Begitulah kedudukan Anwar, bertenggek di dahan DAP dan dalam masa yang sama membelit di dahan Pas.

PIlihanraya Umum akan menjelang tidak lama lagi. Andaikata kemenangan berpihak kepada Pas (tak akan terjadi tetapi sebagai mengorek angan-angan Anwar dan Pas), PKR turut mendapat keuntungannya dan DAP akan ditinggalkan.

Andaikata DAP pula yang menang dalam pilihanraya (tidak mungkin tetapi hanya manguatkan lagi khayalan Anwar dan DAP), sekali lagi PKR juga yang tetap mendapat keuntungan dan Pas akan dipinggirkan.

Andaikata PKR berjaya memimpin kerajaan (mustahil tetapi itulah impian dan harapan Anwar), jangan haraplah Pas dan DAP akan mendapat keuntungannya kerana Anwar penuh dengan hutang-hutang jasa yang perlu dibayar sama ada individu dalam Malaysia ataupun kuasa asing dan beliau perlu mengagihkan kuasa kepada pemiutang-pemiutangnya itu.

Kalau sebelum kewujudan Anwar ada pepatah yang berbunyi; gajah sama gajah bergaduh, pelanduk di tengah yang menjadi mangsa terpaksa ditukar kepada gajah sama gajah bergaduh, pelanduk di tengah yang menjadi pemenang!

Sedar tak sedar, DAP yang angkuh dengan isu perkauman dan agama yang cuba dibangkitkan secara perlahan-lahan untuk menarik sokongan orang Cina dan Pas pula yang riak dengan pegangan agama kerana parti yang berusaha menarik semua kaum terutama Melayu akan rugi dan menangis sendiri kerana diperbodohkan oleh Anwar yang licik.

Jika itulah yang terjadi, nampak gayanya sekali lagi UMNO/BN perlu memikirkan cara dan berusaha untuk mengembalikan kemerdekaan ‘Tanah Melayu’. Ketika itu jugalah Pas dan DAP akan mula sedar dan insaf atas segala kebodohan, keangkuhan dan ketaksuban mereka selama ini serta akan kembali bersama-sama UMNO/BN memperjuangkan kebebasan ‘Tanah Melayu’.